Thursday, June 9, 2011

Murid tahun 6 wakili negara


BESUT - Adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, bukan sahaja khatam al-Quran seawal usia 6 tahun 6 bulan, tetapi paling membanggakan, dia satu-satunya kanak-kanak di negara ini bakal mewakili negara ke Pusingan Akhir Majlis Tilawah Al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar.

Pertandingan itu adalah anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran TV kanak-kanak Al-Jazeera.

Anak kepada pasangan guru, Nurunnajmi Yaacob, 40, yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Payong, Hulu Besut dan Sauzan Ibrahim, 39, tenaga pengajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah itu, bakal berlepas ke negara Timur Tengah itu, dijangka penghujung bulan ini.

Menurut Nurunnajmi, anak perempuannya yang belajar di SK Lubuk Kawah itu terpilih mewakili negara selepas melalui dua saringan yang diadakan kerajaan Qatar.

4,000 kanak-kanak seluruh dunia jalani saringan, 63 terpilih termasuk Nurussyahamah

“Saringan pertama diadakan pada 17 Februari lalu di Kuala Lumpur bersama 49 orang dari seluruh negara, dan hanya tiga daripada mereka termasuk anak saya terpilih untuk ke saringan peringkat kedua pada April lalu.

Nurunnajmi yang menjadi guru al-Quran dan taranum anaknya itu berkata, daripada 63 orang itu pula, tiga orang akan dipilih kerajaan Qatar untuk menentukan yang terbaik dalam pertandingan yang akan diadakan Ramadan ini.
Menurutnya, beliau membimbing anaknya membaca al-Quran secara berlagu dan tajwid bukan semata-mata mahu mengejar kejayaan dalam pertandingan, tetapi ia sebagai ilmu buatnya, manakala pertandingan hanya sampingan untuk memastikan setiap kesalahan dan kelemahan diperbaiki.

“Saya turut membawa anak saya belajar tajwid dan taranum daripada bekas Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud di Bachok, Kelantan,” kata guru itu mengenai anak kedua daripada empat beradik, yang semuanya perempuan itu.

“Dari umur 6 tahun setengah hingga 8 tahun pula, dia khatam al-Quran sebanyak empat kali dan setakat ini, dia pernah menjadi johan j-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008, tiga kali wakil negeri ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan peringkat sekolah-sekolah, selain pernah merangkul Naib Johan Kebangsaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment