Friday, January 13, 2012

SPBA DITANGGUHKAN....

su SBPA : Najib sahkan skim gaji baru ditangguh



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.
Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan memetik sumber-sumber berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguan semalam telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Ketika dihubungi awal hari ini, pimpinan Cuepacs juga mengesahkan pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan sementara perundingan diadakan dengan mereka.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata Presidennya Datuk Omar Osman turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengenai penangguhan SBPA.

"Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online tengah hari tadi.

Sementara SBPA disemak semula, dalam kenyataannya Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.
Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

Sumber : Sinar , 12 Jan 2012

No comments:

Post a Comment